Pernah melihat logo-logo ini? Ini adalah simbol yang digunakan untuk RSS.
RSS mempunyai beberapa maksud iaitu: - Really Simple Syndication (RSS 2.0)
- Rich Site Summary (RSS 0.91, RSS1.0)
- RDF Site Summary (RSS 0.9 dan 1.0)
RSS adalah cara untuk mendapatkan berita terkini dengan mudah dan automatik dan pengemaskinian maklumat dari mana-mana laman web yang menyediakan RSS. RSS berguna untuk mendapatkan maklumat atau berita terkini dari sesebuah laman web tanpa perlu mengunjungi laman web tersebut. Singkatnya RSS adalah rumusan isi atau kandungan dari laman web.
Melalui RSS, anda boleh mengetahui tentang apa-apa perkara terkini seperti berita mutakhir ke tawaran pekerjaan hinggalah perkara terbaru yang rakan anda tuliskan dalam blog. Yang menariknya adalah anda tidak perlu mencarinya. Ia ada di situ, tersedia untuk anda baca dan dikemaskini secara berterusan. Misalnya, jika anda ingin membaca berita terbaru dari Berita Harian Online - bharian.com.my - anda tidak perlu berkunjung ke lamannya tetapi cukup dengan melanggan RSS bharian.com.my sahaja. Dengan menggunakan RSS Feed Reader atau RSS Feed Aggregator yang percuma, anda dapat membaca semua berita dalam satu halaman saja, tanpa perlu mengunjungi halaman tersebut satu persatu. Dengan adanya RSS ini akan memudahkan anda mendapatkan berita-berita terbaru dengan cepat, efektif, dan efisyen. Muka depan laman web Rasdian menggunakan RSS yang disediakan oleh Berita Harian Online dan Utusan Online untuk mengisi ruangan "Terkini di Akhbar". Berita-berita di situ dikemaskini secara automatik bila saja Berita Harian atau Utusan Malaysia membuat perubahan di akhbar online mereka. Dengan kemudahan ini, pengunjung-pengunjung Laman Rasdian dapat melihat dengan pantas jika terdapat sebarang berita terbaru di akhbar Berita Harian atau Utusan Malaysia. Bagaimana Mengaktifkan RSS? RSS boleh dilanggan dengan mudah menggunakan browser Mozilla Firefox atau Windows Internet Explorer 7. Tetapi, bukan semua laman web menyediakan RSS. Untuk Firefox, perhatikan logo RSS di address bar. Bagi laman yang menyediakan RSS, logonya akan muncul di sebelah kanan selepas alamat seperti di bawah: Klik pada logo RSS di address bar.
Setelah logo RSS diklik, arahan di bawah akan muncul:  Di laman tersebut, klik "Subscribe Now".
Arahan berikut pula akan tertera:  Di sini pastikan folder di mana RSS hendak disimpan dengan mengubahsuai - "Create in:" dan klik "Add".
Selesai! RSS yang disimpan boleh dilihat di Bookmarks. Ianya dinamakan Live Bookmark sebab ianya aktif dan berubah-ubah mengikut perubahan di laman web yang kita langgan. Cubalah menggunakan perkhidmatan RSS yang disediakan oleh rasdian.edu.my ini untuk mendapat berita terkini di laman web ini.
|